Saturday, October 22, 2016

ISU Jakim dan Mufti perlis

Nampaknya isu halal dan haram semakin popular dan panas sejak pretzel Dogs hangat. Isu-isu macam ini kita biarkan orang alim dalam bidangnya sahaja berbalah. kita kena yakin dengan JAKIM.

Ikut luahan Ustaz Hazizi Ab Rahman.




 1) Seingat saya, belum pernah lagi saya mengkritik seseorang ustaz secara spesifik di FB, inikan pula seorang mufti. Tetapi inilah kali pertama saya lakukan kerana sudah tidak tertahan lagi. Saya harap inilah kali terakhir saya gunakan kaedah ini.

2) Tabiat mufti ini yang suka mengkritik secara terbuka institusi agama Islam, sudah lama diperhatikan, sedangkan sebagai seorang mufti beliau mempunyai saluran langsung yang sentiasa terbuka luas, melalui mesyuarat, muzakarah dan sebagainya, bahkan perhubungan peribadi secara langsung.

3) Tindakan seseorang mufti mengkritik secara terbuka institusi agama sudah tentu lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Selain memecah belahkan masyarakat, ia juga secara tidak langsung mendidik anak muda bersikap kurang ajar dengan institusi agama dan para ulama. Berfikiran kritis tidak semestinya perlu mengkritik secara terbuka.

4) Seseorang mufti seharus tahu dan faham tentang topik النظر إلى المآلات , yang menuntutnya memikirkan akibat daripada pendapatnya yang diluah secara umum ke atas pemikiran dan tingkah laku masyarakat. Kelihatan seperti mufti pun turut terkesan secara negatif dengan kewujudan media sosial sehingga tidak dapat mendisiplinkan diri.

5) Saya tidak nampak sebab yang menghalang mana-mana pihak menerima nasihat dan hujah yang baik dan benar, kecuali sikap dan tindakan yang kurang beradab dan tidak menghormati pihak lain. Di semua negeri terdapat alim dan ulama, maka hormatilah sesama alim ulama, agar ia menjadi contoh teladan kepada masyarakat awam.

6) Kesan paling bahaya akibat tindakan mufti yang mengkritik institusi agama secara publik ini ialah membesarkan lagi arus pemikiran liberal yang sememangnya mahu menghapuskan terus institusi agama di negara ini. Fahaman liberal mahukan agama menjadi hal peribadi semata-mata.

Syura atau berbincang dan berunding merupakan perkara asas dan mendasar di sisi agama Islam yang indah ini. Jangan rosakkan keindahan agama ini semata-mata kerana mudahnya menerbitkan pandangan di FB.

Islam bukan sekadar hukum hakam, tetapi ia juga ialah mengenai adab sopan.

Sebarang perbezaan pendapat dalam urusan umat Islam hendaklah dibawa berbincang sesama umat Islam dan tidak perlu libatkan orang lain, bersesuaian dengan firman Allah Taala dalam Surah Syura ayat ke 38:

“dan urusan mereka (umat Islam adalah melalui) syura sesama mereka”

rujukan: ISMAweb.